Sunday, 6 November 2011

TILAWAH SEBENAR

Catatan oleh: Dr. Solah al-Khalidi

Allah s.w.t memuji sikap orang beriman terhadap Al-Quran dan terhadap baiknya tilawah mereka terhadap al-Quran. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 121:

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلاَوَتِهِ أُولَئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ وَمَنْ يَكْفُرْ بِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

Ertinya:121. orang-orang Yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya Dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang Yang beriman kepadanya; dan sesiapa Yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang Yang rugi.
Ayat al-Quran yang yang ringkas dan penuh mukjizat ini “Yatluunahu haqqa tilaawatihi” adalah untuk menanam satu qaedah yang manhaji dalam bagaimana tatacara  yang hidup dalam berinteraksi dengan al-Quran. Kata kerja (Talaa) sebenarnya terdapat dua pengertian:
Pertama: Dengan makna al-qiraah (membaca). Jika disebut dalam bahasa Arab “ fulan yatlu al-kitab” maka itu membawa makna si polan membaca apa yang terkandung di dalamnya.
Kedua: Dengan makna mengikuti. Jika disebut dalam bahasa Arab “ Jaaa fulan yatluu fulan” maka itu membawa makna  si polan ini datang selepas si polan itu secara berturut-turut.
Kedua-dua makna ini tersebut di dalam beberapa ayat al-Quran. Antara ayat yang menyebut dengan makna membaca ialah ayat 29 dari surah Faathir:
إِنَّ الَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً يَرْجُونَ تِجَارَةً لَنْ تَبُورَ
29. Sesungguhnya orang-orang Yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa Yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan Yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan Yang tidak akan mengalami kerugian;

Ayat ini membawa maksud orang-orang beriman itu membaca kitab Allah s.w.t.

Manakala ayat yang menyebut perkataan “Talaa” dengan makna mengikuti ialah pada ayat 1 dan 2 dari Surah As-Syamsu:

وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا  وَالْقَمَرِ إِذَا تَلَاهَا   
1. Demi matahari dan cahayanya Yang terang-benderang; 2. dan bulan apabila ia mengiringinya;

Dalam ayat ini menjelaskan bahawa bulan mengikuti matahari dan datang setelah matahari.

Ayat lain yang membawa makna yang sama ialah ayat 17 dari Surah Hud:
أَفَمَنْ كَانَ عَلَى بَيِّنَةٍ مِنْ رَبِّهِ وَيَتْلُوهُ شَاهِدٌ مِنْهُ وَمِنْ قَبْلِهِ كِتَابُ مُوسَى إِمَامًا وَرَحْمَةً أُولَئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ
17. jika demikian, Adakah sama mereka itu Dengan orang-orang Yang keadaannya sentiasa berdasarkan Bukti Yang terdapat dari (benda-benda Yang diciptakan oleh) Tuhannya, dan diikuti oleh Kitab suci Al-Quran memberi kenyataan - sebagai saksi dari pihak Tuhan meneguhkan Bukti Yang tersebut; dan sebelum itu, kenyataan Yang serupa diberi oleh Kitab Nabi Musa Yang menjadi ikutan dan rahmat (kepada umatnya)? orang-orang Yang berkeadaan demikian, mengakui - menerima Al-Quran;

Kedua-dua makna ini, (membaca dan mengikuti) adalah merupakan kedua-dua maksud yang dikehendaki dari ayat “Yatluunahu haqqa tilaawatihi”. Ini menunjukkan kepada bahawa hubungan kita dengan al-Quran mestilah menerusi dua marhalah, iaitu:

Marhalah pertama: Bahawa kita melaksanakan pada bacaan itu makna yang pertama iaitu “membaca” . Oleh itu kita perlu memperelokkan bacaan kita terhadap ayat-ayat al-Quran dengan menekuni hukum-hukum bacaan dengan tartil sebagai merealisasikan firman Allah, ayat 4 dari surah al-Muzammil ( warattilil Quraan tartiila).

Marhalah kedua:  Bahawa kita melaksanakan makna tilawah yang kedua, iaitu mengikuti. Maka kita memperelokkan ikutan kita terhadap al-Quran menerusi iltizam yang benar terhadap al-Quran, tadabbur yang berterusan dan pelaksanaan terhadap segala hukum hakam yang terdapat di dalamnya.

Marhalah pertama wajib memimpin kita kepada marhalah kedua. Sesiapa yang berjaya merealisasikan kedua-dua marhalah ini, maka dia adalah lelaki al-Quran yang sebenar.  Dia telah benar-benar melakukan tilawah terhadap al-Quran. Adapun sesiapa yang mencukupi dengan marhalah pertama sahaja dan mengabaikan marhalah kedua, maka dia berdosa dan diazab di sisi Allah. Al-Quran adalah saksi dan hujjah untuknya pada hari Kiamat. Tidak berguna kepadanya tilawah-tilawah terhadap ayat-ayat dan hukum-hakam al-Quran serta keindahan bacaannya kerana beliau telah mengabaikan pelaksanaan dan keiltizamannya.

Tidak boleh kita mengabaikan marhalah pertama tilawah. Wajib pada kita memperelokkan bacaan, menekuni hukum-hakam tartil, namun tidak boleh kita merasa cukup pada marhalah ini sahaja dan kita berhenti setakat bacaannya sahaja.

Permasalahan pada sebahagian umat Islam ialah merasa cukup dengan tilawah dan bacaan ayat-ayat al-Quran itu. Mereka  sangat menekuni hukum-hukum tartil dan bentuk-bentuk suara sehingga tidak ada tolak ansur dalam harakat bacaan atau makhraj huruf, namun ketika anda melihat pada pelaksanaan terhadap ayat-ayat yang sangat bagus dibaca itu seolah-olah langsung tidak ada apa-apa yang fahami.

Wajib kita melakukan tilawah terhadap al-Quran dengan sebenar-benar tilawah sehingga wujud dalam kehidupan praktikal kita ayat yang ringkas dan penuh mukjizat ini (Yatluunahu haqqa tilawatihi).

Tilawah yag sebenar-benar tilawah itu ialah  kita membaca ayat-ayat al-Quran itu dengan sebenarnya bacaan kemudian kita mengikuti hukum-hakam yang terdapat di dalam al-Quran itu dengan sebenar-benarnya. Kita melaksanakannya dengan sebaik-baiknya dan kita beriltizam dengan sebenar-benar iltizam.

Inilah makna yang difahami oleh para sahabat Rasulullah s.a.w. Menurut Ibnu Abbas r.a bahawa makna ayat (Yatluunahu haqqa tilawatihi) ialah mereka mengikutinya dengan sebenar-benar ikutan. Lalu mereka menghalalkan apa yang dihalalkan oleh al-Quran, mereka mengharamkan apa yang diharamkan oleh al-Quran dan mereka tidak tidak menyelewengkan ayat-ayat itu dari tempat-tempatnya.

Menurut Qis bin Said bin Ubadah r.a, makna (Yatluunahu haqqa tilawatihi) ialah mereka mengikutinya dengan sebenar-benar ikutan. Tidakkah anda melihat firman Allah (wal qamara iza talaaha) yang bermaksud apabila bulan mengiringi matahari.

Kata Abdullah Ibnu Mas’ud: “Demi yang diriku di dalam gengaman-Nya, sesungguhnya sebenar-benar tilawah itu ialah menghalalkan yang dihalalkan oleh al-Quran dan mengharamkan yang diharamkan oleh al-Quran dan membacanya sebagaimana diturunkan oleh Allah serta tidak menyelewengkan kalimah-kalimah dari tempatnya”.  Abdullah Ibn Mas’ud telah memberikan kepada kita satu nasihat yang cukup hebat dalam memperelokkan ikutan kita terhadap al-Quran, kata beliau: “Jadikanlah al-Quran itu dihadapan anda dan jangan jadikan ia dibelakang anda. Jika anda menjadikan al-Quran itu di hadapan anda, maka ia memimpin anda  sehingga anda masuk ke syurga. Jika anda menjadikannya dibelakang anda, maka ia akan mendorong anda dalam neraka jahanam”.

No comments:

Post a Comment