Thursday, 22 December 2011

SATU HATI

Disediakan terjemahan oleh: http://asastarbawi.blogspot.com/

Peristiwa demi peristiwa berturutan sepanjang beberapa hari yang lalu yang menyentuh tentang pemilihan anggota Maktab Irsyad Jamaah Ikhwan Muslimin.  Media-media massa seperti biasa memuatkan berita-berita Ikhwan beserta dengan tahlil, tafsir, takwil dan juga takhmin sama ada benar mahu pun tidak benar.  Berita-berita ikhwan  menjuarai muka depan surat-surat khabar, majalah,  siaran berita dan juga laman-laman web.  Berita-berita Ikhwan ini memaksa dirinya keluar  di pentas-pentas politik.  Pendokong-pendokong dalam saf ikhwan, para pencinta Ikhwan bahkan para penentang Ikhwan juga hidup dalam keadaan yang sama menjadi sorotan media sehingga menimbulkan suasana yang tidak stabil dan penuh keresahan terhadap masa depan ikhwan.

Serangan, penjelikan, tuduhan dan tohmahan yang dihadapi oleh Ikhwan itu sebenarnya adalah satu serangan Psikologi terancang secara media massa, penuh perencanaan dan disengajakan.  Khabar-khabar angin perpecahan Ikhwan akan berlaku dalam masa terdekat tersebar luas di kalangan anggota Ikhwan. Para penganalisa mengatakan terdapat banyak tanda-tanda berlakunya perpecahan dalaman jamaah. 

Dari sini kami teringat kata-kata Imam Al-Banna r.a: “ Saya telah mendengar  deruan suara yang tidak difahami ini, maka saya tidak terbeban dengannya dan saya tidak pernah berusaha  untuk menjawabnya kerana saya tahu satu kaedah yang sangat bermanafaat kepada  saya dalam perjalanan dakwah amali ini, iaitu khabar angin dan pendustaan tidak akan habis dengan menjawabnya.  Tidak juga dengan menyebarkan khabar angin yang seumpamanya.  Tetapi ia akan selesai dengan amal yang  positif dan bermanafaat yang boleh menarik perhatian dan menuturkan lidah-lidah untuk berkata. Ketika itulah khabar angin yang baru (kebenaran) akan mengambil tempat khabar angin yang lama (kebatilan).

Dengan demikian kebanyakan ikhwan berhenti daripada menjawab khabar-khabar angin tersebut. Ketika ini pendirian-pendirian amali menjadi keutamaan. Setelah ribut  itu berlalu dan keadaan  menjadi tenang, maka datanglah kalimat-kalimat ini memperkukuhkan saf, menenangkan para pencinta Ikhwan,  menambahkan keyakinan dan thiqah para amilin,  menyinarkan harapan kepada mereka yang berputus asa,  menyalakan obor hidayah kepada mereka yang kesesatan, memperkukuhkan lagi kepercayaan mereka yang berligar dakwah serta menjelaskan sikap kepada merek yang jahil terhadap hakikat dakwah Ikhwan.

IKATAN TANZIMI
Dengan kelebihan daripada Allah, Ikhwan telah hidup dalam berbagai zaman di bawah bayangan  firman Allah s.w.t: “Berpeganglah kamu dengan tali Allah semuanya dan janganlah kamu berpecah-belah”.  Mereka hidup di bawah bayangan dakwah mereka yang diberkati di atas nilai-nilai dan ma’ani intima’ yang murni, ketaatan penuh kesedaran dan dan kejelasan,  saling mempercayai dan ukhuwwah yang benar sambil mengulang-ulang  ungkapan : “
الكفوف في الكفوف فاشهدوا عهودنا     ..الثبات في الصفوف والمضاء والفنا
Mereka terdidik di atas ma’ani ini.  Mereka hidup untuk dakwah dan dengan dakwah di bawah bayangan  suasana tanzimi yang dibina dengan rapi, intima’ yang mendalam, banyak menyumbang, tidak di jaga oleh nafsu. Bahkan penuh kasih sayang, persaudaraan, menyumbang dan memberi, ketaatan yang jelas bukan ketaatan membuta tuli. Mereka sentiasa berlumba dalam melakukan ketaatan, kasih sayang dan kejernihn hati. Keseua mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk kekal di dalam lingkungan kelompok beriman ini tanpa riya’ dan tanpa asabiyah buta.  Mereka dihimpunkan oleh ikatan tanzimi yang terangkum dalam tiga rukun ( taat, ukhuwwah dan thiqah) mereka tidak berganjak dari rukun ini walau selangkah semut.
Intima ‘ tanzimi dalam Dakwah Ikhwan itu adalah:
1.     Ketaatan yang jelas sandarannya, bertitik tolak dari keimanan dan syiarnya ialah:
" قوم يرون الحق نصر أميرهم .. ويرون طاعة أمره إيماناً"
 “kaum yang memandang kebenaran itu adalah menolong Amir mereka…. Dan mereka melihat mentaati perintahnya adalah satu keimanan”.
2.     Ukhuwwah Sodiqah yang mengatasi segala  ikatan intima’ lain yang sempit dan terbatas.
3.     Kethiqahan yang sangat tinggi, tidak lemah di hadapan ujian-ujian syahawat dan syubahat.  

DAKWAH KASIH SAYANG
Para Asatizah telah mengajar kita bahawa dakwah kita adalah dakwah kasih sayang tanpa ‘asobiyah dan tanpa unsur jahiliyah. Ia adalah dakwah suara hati yang dikawal oleh akal yang sedar. Dakwah Rahmat dan kelembutan di antara mereka tanpa kelemahan. Jauh dari daerah permusuhan  dan kemarahan. Mereka tidak saling hasad, tidak saling membenci, tidak saling mengintip,  tidak  melakukan provokasi dan jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.  Ikhwan mengasihi dakwah mereka sesungguh hati  sehingga dakwah itu memiliki hati dan pancaindera mereka. Mereka berintima’ kepada dakwah  dengan intima’ yang sebenarnya tanpa sebarang  keraguan dan  kesangsian. Mereka menanggung segala kesusahan dan melepasi segala sebab-sebab perpecahan.  Pada mereka dakwah itu seumpama tembok keamanan yang menyelamatkan mereka dari terjatuh ke lembah mutasaqitin atau dari menyentuh kehormatan dakwah  dan para pimpinannya.  Lebih tinggi daripada perkara-perkara yang remeh temeh.

Ikhwan telah mengajar kita bahawa kasih sayang dijalan Allah itu adalah aqidah dan salah satu rukun baiah. Perbezaan pandangan tidak sedikitpun merosakkan kasih sayang. Kita berbeza dalam pandangan dan pemikiran tetapi tidak berbeza pada hati-hati kita. Bermacam pandangan kita terhadap satu persoalan tetapi tanpa permusuhan dan kemarahan.

GEROMBOLAN SATU HATI
Dakwah Ikhwan adalah satu pokok yang sangat tinggi,  besar dan menakjubkan. Akar umbinya sangat dalam. Binaan dakwah asasnya sangat kukuh dan jiwa maknawinya kesannya sangat mendalam di dalam hati.  Begitulah Ikhwan.  Mereka beriman dengan kesucian dakwah mereka dan ketulusan fikrah mereka. Oleh itu mereka berazam dengan benar untuk hidup dengan dakwah dan mati di jalan dakwah dengan penuh kemuliaan.  Walaupun diserang dengan berbagai tuduhan dan provokasi.
Dakwah Ikhwan melahirkan dari peribadi-peribadinya gerombolan satu hati seperti berikut:
+ Gerombolan satu hati … mengembalikan mereka yang terpinggir, membangkitkan mereka yang tidur, menghidupkan harapan mereka yang kepenatan, meniupkan semangat mereka yang putus asa serta menghidupkan perasaan aman mereka yang rasa terancam. Oleh itu  apa juga goncangan syubhat dan syahwat tidak dapat menggugah dan menggugat kebersamaannya dengan dakwah.  Menolak semua bentuk rasa kekalahan dalam diri. Kerana itu, maka tidak ada pengasingan diri, merajuk dan merepek terhadap sahabat-sahabatnya. Setiap kali datang ujian maka semakin bertambah kekuatan dan kemantapan pegangan mereka dengan dakwah dan semakin kuat penggabungannya dengan saf.  
+ Gerombolan satu hati… tajarrud dari  setiap desakan nafsu. Tidak ditembusi oleh panahan mereka yang berkepentingan, tidak  juga keraguan mereka yang sentiasa menikam dakwah dan kepimpinannya, tidak terduduk oleh ujian-ujian yang datang silih berganti, tidak terduduk oleh keadaan ekonomi yang sukar dalam melakukan pengorbanan,  tidak bertembung antara kepentingan dakwah dan kepentingan peribadi,  tidak mengejar pangkat dan kedudukan, tidak  berebut kekuasaan, tidak berkonspirasi terhadap sesiapa, tidak dikuasai pemikiran keras, tidak juga dirosakkan oleh waswas syaitan dan sorotan-sorotan media. 
Bahkan mereka berhimpun di atas dasar ketaatan dengan maknanya yang syamil, mendirikan agama Allah di atas muka bumi ini sesuai dengan manhaj yang memiliki objektif-objektif tertentu. Dan baiah ketaatan untuk beramal kerana Allah atau mati di jalan Allah.
+ Gerombolan Satu Hati… mengkhususkan saudara-saudaranya dengan kasih sayang,  kesantunan, kelembutan, ithar, kelapangan dada serta limpahan dari hatinya kepada hati-hati yang berada di sekitarnya.  Sama-sama mengungkapkan  yang disebut oleh Imam al-Banna: “ Kami untuk kamu dan bukan untuk selain kamu wahai saudara-saudaraku yang dikasihi” (  نحن لكم لا لغيركم أيها الأحباب   ). Berhimpun di atas kebaikan, saling menghormati, memaafkan ketika tersilap, mengiktiraf kelebihan  mereka yang terdahulu. Menghidupkan takaful, tafahum dan ta’min.  Berpesan dengan kebenaran, berpenampilan yang baik,  pergaulan dan muamalah yang baik, wajah yang ceria, akhlak bertolak ansur sebagai satu rahmat dan belas kasihan, menolak sebarang kesakitan, degup jantung dengan satu ruh tanpa perselisihan dan permusuhan. Hati –hati mereka bersatu. Mereka dikumpulkan oleh satu hadaf iaitu kasih sayang Allah, oleh satu ghoyah iaitu keredhaan Allah. Apabila satu orang bersin di Timur, maka saudaranya di barat menjawab yarhamukallah !.  
+ Gerombolan Satu hati.. dengan para anggotanya  yang  menempuhi berbagai keadaan seronok, sedih, positif dan negatif, sentiasa memberikan sokongan dan dokongan kepada para anggotanya kerana mereka adalah pemberat timbangan amal dakwah, pemikul beban-beban dakwah,  pencipta keseimbangan dalam kehidupan,  hati yang pengasih, penenang jiwa dan taman-taman mereka yang berkasih sayang di syurga dunia sebelum syuga Akhirat.
+ Gerombolan Satu hati… Memiliki satu kefahaman yang sumber rujukannya yang tertinggi adalah al-Quran dan Sunnah Rasulnya s.a.w . Diikuti dengan Risalah Taalim imam al-Banna, Ma’alim Syed Qutb, pandangan-pandangan Hudhaibi, pemikiran-pemikiran al-Maududi,  pengajaran-pengajaran dari Dr. Sibaie, Fiqh Dakwah  Mustafa Masyhur, Abjadiyat Fathi Yakan, Tazkiyah-tazkiyah Said Hawa, Muntolaq Ahmad Ar-Rasyid serta syarah-syarah Jumaat Amin.
  Inilah Dakwah Ikhwan kepada sesiapa yang belum mengenalinya dengan baik,  kepada sesiapa yang  belum berada di dalamnya, kepada sesiapa yang belum memahami hakikatnya.  Begitulah Ikhwan… Mereka tetap sebagai gerombolan satu hati. Ada orang mengatakan ini sangat ideal tetapi kami yakin itulah hakikat dakwah ikhwan. Kita ungkapkan kepada para ikhwan sekelian yang kita kasihi kerana Allah dan mereka yang memenuhkan ruang internet dan media dengan berbagai tohmahan dan kejian terhadap Ikhwan: Cukuplah dengan usaha meragukan terhadap dakwah  kamu dan serangan terhadap kepimpinan kamu,  Jadikanlah  pendirian kamu berada disekitar kepimpinan kamu yang baru, berusaha untuk melakukan islah, taghyir dan tajdid dari dalam binaan tarbawi. Ruang media, laman web bukan ruang terbaik untuk melakukan  perubahan tarbawi yang diharapkan.
Imam Al-Banna: Wahai Ikhwah ingatlah dengan baik, sesungguhnya kalian  adalah ghuraba yang berusaha melakukan perbaikan ketika manusia dalam kerosakan, kalian adalah akal baru yang dikehendaki Allah membezakan antara kebenaran dan kebatilan pada waktu manusia bercelaru. Kalian adalah pendakwah Islam, pembawa al-Quran, penghubung bumi dengan langit, pewaris Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda selepas mereka.  Dakwah kalian memiliki kelebihan berbanding dakwah-dakwah yang lain, cita-cita kalian memiliki ketinggian berbanding berbagai cita-cita yang lain, kalian telah bersandar kepada kekuatan, kalian telah berpegang dengan simpulan yang sangat kuat dan tidak akan terungkai, kalian telah mengambil cahaya yang sangat terang dikala ramai manusia tersesat dari jalan yang benar. Allah memiliki urusan-Nya. Allahu Akbar walillahilhamd !


No comments:

Post a Comment