Thursday, 20 October 2011

Erdogan Mengajar Kita

Oleh Ahmad Abu Ratimah
Di antara rahmat Allah s.w.t kepada kita semua, ialah memberikan kepada kita pada setiap zaman  peribadi-peribadi jujur dan ikhlas yang menjadi contoh yang soleh untuk diikuti dan mendorong kita mengikuti jalan benar serta menjelaskan hujah kepada mereka yang malas dan ketinggalan..
Kami mengira bahawa peribadi-peribadi contoh tersebut dizaman kita ini ialah perdana Menteri Turki Rajab Tayyib Erdogan dan kita tidak mendahului Allah dalam pujian ini.. Petanda kebaikan peribadi ini ialah dia diterima di atas muka bumi ini. Berapa ramai hati dan lidah yang berdoa kepadanya agar diberikan petunjuk oleh Allah, dijaga dan dibetulkan perjalanannya. Hadith Rasulullah s.a.w  menyebut bahawa apabila Allah mengasihi seseorang hamba, Allah memerintahkan Jibril supaya mengasihinya kemudian Jibril menyeru seluruh penduduk langit supaya mengasihi peribadi tersebut seterusnya diletakkan penerimaan itu di bumi.
Dengan ujian dan krisis akan muncul manusia-manusia mutiara.  Hari-hari mutakhir ini Rejab Toyyib Erdogan telah diuji dengan kematian bondanya yang berusia 80an.  Hukum politik  dengan segala kekeringan dan kekontangannya selalu menyebabkan hati menjadi keras dan menjauhkan  seseorang dari perasaan kemanusiaan. Namun Erdogan, walaupun tersangat sibuk dengan kejayaan politiknya tidak terlepas dari sifat manusiawinya. Beliau mempunyai perasaan yang sangat sensitif sehingga bercucuran airmatanya sewaktu menangisi pemergian bondanya. Ada gambar-gambar yang menunjukkan betapa peribadi hebat ini sangat dekat dengan ibunya dan sangat berjasa terhadap ibunya.
Bukan airmata Erdogan satu-satu yang perlu diperhatikan, kerana Erdogan dalam kesedihan itu tidak melupakan perhatian terhadap maslahat masyarakat yang diamanahkan kepadanya. Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh  Jabatan Media oleh Perdana Menteri menuntut supaya sesiapa yang mengucapkan takziah kepada arwah ibunya, Tanzilah Erdogan  supaya  menderma harga  bunga takziah atau  harga iklan takziah tersebut  kepada projek kebajikan  masyarakat remaja sebagai ganti kepada bunga takziah yang dihantar ke rumahnya.
Erdogan memang hebat dalam sikap seperti ini. Beliau tidak suka dengan sikap bermuka-muka yang boleh dilakonkan oleh orang jujur dan orang munafik. Belia tidak memandang kemewahan, ukiran kata-kata dan suasana kosong yang tidak boleh mengenyangkan si lapar dan tidak boleh memberi pakai kepada mereka yang tiada pakaian. Beliau  menggunakan  peluang baik itu untuk amal-amal positif  lagi membina yang boleh mengembalikan kebaikan kepada masyarakat yang telah memberikan kepercayaan kepadanya.  Yang juga boleh menjadi sedekah jariah kepada ibunya di dalam kuburnya..
Sikap ini membuktikan bahawa Erdogan dipenuhi oleh ruh kebaikan dan sepenuh hati berkhidmat untuk masyarakatnya sehingga terjelma sikap yang jujur tanpa dibuat-buat atau direka-reka untuk tujuan politik.
Dengan pendirian dan sikap ini, Erdogan telah mengajar kita makna amanah, bersih, telus dan menjaga harta masyarakat. Oleh itu makna anda menjadi seorang yang bertanggungjawab dalam madrasah Erdogan ialah anda menjadi seorang yang sangat menjaga  harta masyarakat. Seorang yang sangat bertaqwa dalam  menjaga apa jua jumlah harta tersebut.
Jika kita bandingkan pendirian berakhlak  oleh Erdogan  dengan sikap-sikap kebanyakan pembesar-pembesar kerajaan di negara-negara Umat Islam lain, ternyata sangat  jauh berbeza. Berapa banyak harta yang dilimpahkan oleh para pembesar kerajaan dalam berbagai perayaan,  sambutan, walimah dan sebagainya  tanpa hitungan atau penjelasan.
Betapalah indahnya jika mereka memiliki ruh  kebaikan seperti yang digambarkan oleh Erdogan. Betapa banyak sekolah, hospital dan projek-projek kebajikan dapat dilaksanakan dengan harta yang dicurahkan tanpa hak yang sebenarnya.
Seruan Erdogan supaya berjimat-cermat dan menjuruskan semua harta itu kepada projek khidmat masyarakat itu bukan kerana negara berhadapan dengan kesempitan ekonomi, tetapi dari sudut sensitiviti akhlak yang mulia dan tinggi serta merasai kebertanggungjawaban.  Peribadi Erdogan ini diceritakan oleh pencapaian-pencapaiannya sendiri sehingga dia berjaya mengangkat pertumbuhan dan kehebatan ekonomi negaranya ke tahap yang belum pernah dicapai sebelumnya..
Jika inilah keadaan Erdogan dengan kejayaan-kejayaannya,  tidakkah patut bagi negara-negara yang menghadapi masalah kefaqiran dan pengangguran menjadi lebih perihatin dalam menjaga harta masyarakat dan mengambil idea dari madrasah Erdogan ini?
Erdogan mengajar kita supaya berjimat dalam slogan dan promosi dan biarkan kejayaan yang dicapai itu menceritakan tentang diri kita.  Kerana memasarkan slogan-slogan yang meluas kepada masyarakat tidak dapat mengenyangkan masyarakat dan tidak dapat membina rasa keamanan dari ketakutan. Apa yang masyarakat perlukan ialah kepimpinan yang jujur dan sepenuh masa berkhidmat untuk masyarakat, hidup bersama masyarakat, merasai apa yang masyarakat rasa dan bertaqwa kepada Allah pada amanah yang diserahkan masyarakat kepadanya. Allah  sahajalah penunjuk jalan kebenaran.

No comments:

Post a Comment