Catatan: Alim Murabbi Dr. Fathi Yakan
http://asastarbawi.blogspot.com
Ada sesetengah pihak yang merasa pelik apabila membicarakan tajuk-tajuk seperti ini dengan kajian dan analisa. Mereka menganggap tajuk-tajuk seperti ini sangat mudah dan tidak perlu diberikan keutamaan bahkan tidak perlu untuk difikirkan sangat. Hakikatnya saya sangat berbeza dengan aliran yang memandang enteng urusan-urusan tanzimi dengan tidak memberikan perhatian sewajarnya kerana sekecil apapun amal yang kita lakukan, ia tidak akan berjaya dan berfaedah kalau tidak dilakukan dengan teliti dan itqan.
Apa lagi kita sekarang berada di zaman peristiwa-peristiwa mendahului masa, musuh-musuh Islam juga sentiasa merancang dengan sangat teliti. Apabila kita ketinggalan dalam perancangan, kucar-kacir dalam organisasi dan cetek dalam berpandangan, pastinya ia akan menyebabkan pelaksanaannya kucar kacir, pembaziran potensi dan waktu.
Tersusunnya amal-amal jamaah bermula dari tersusunnya pertemuan-pertemuan kecil dalam jamaah itu sendiri dan terlaksananya segala projek-projek jamaah dengan baik. Begitu pula sebaliknya, gagal mungkin bermula dari kecelaruan dan kelamkabut di sana sini.
Kita mungkin boleh melevelkan mustawa sesebuah jamaah menerusi perjalanan satu daripada perjumpaan-perjumpaannya yang diadakan, atau menerusi pelaksanaan sesuatu projeknya. Jika permulaannya baik, maka yang akan berlaku selepas itu akan menjadi lebih baik. Jika permulaannya buruk, maka apa yang akan berlaku selepas itu pasti akan menjadi lebih buruk.
Pertemuan-pertemuan tanzimi sebenarnya boleh dianggap sebagai kunci kejayaan atau kegagalan kepada kerja-kerja jamaah. Untuk menjayakan perlu ada beberapa faktor yang boleh menjayakannya, antaranya:
1. Terikat dengan janji pertemuan
Faktor pertama dalam meruntuh pertemuan ialah keterlewatan dari masa yang telah ditentukan, sekalipun kelewatan itu hanya beberapa minit !!. Pemikiran yang meremehkan masa satu minit mungkin boleh meremehkan masa satu jam, atau masa keseluruhannya. Pemikiran yang tidak terikat dengan beberapa minit masa, tidak terikat dengan minit-minit dalam syarak, atau dia telah terbiasa melanggari segala batasan ekoran dari sikap tersebut.
Waktu menurut hukum syarak dan hukum uruf semasa seperti sebuah janji yang mesti dijaga dan ditunaikan tanpa meremehkan atau melanggarinya. Firman Allah s.w.t:
وأوفوا بالعهد ، إن العهد كان مسئولاً
Ertinya: dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan Dengan manusia), Sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya. Al-Israa’ : 34
Al-Quran menyifatkan orang-orang beriman itu sebagai orang yang menjaga janji, firman Allah:
والموفون بعهدهم إذا عاهدوا
Ertinya: perbuatan orang-orang Yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian . Al-Baqarah:177
والذين هم لأماناتهم وعهدهم راعون
Ertinya: dan mereka Yang menjaga amanah dan janjinya; Al-Mukminuun:8
Sewaktu membicarakan sifat-sifat Munafiq, Rasulullah s.a.w bersabda:
إذا حدث كذب ، وإذا وعد أخلف ، وإذا ائتمن خان
Ertinya: Apabila berbicara, dia berdusta, apabila berjanji dia mungkir dan apabila diamanahkan dia mengkhianati
2. Liqa’bersifat kasih-sayang
Tanpa ragu lagi bahawa apabila liqa-liqa’ yang diadakan itu membawa sifat liqa’ penuh kasih sayang akan memunculkan keberkatan, petunjuk dan kelurusan jalan daripada Allah s.w.t. Tanpa sifat kasih sayang ini, akan menjadikan liqa’ itu sebahagian dari percaturan syaitan yang tidak akan berakhir dengan kebaikan atau tercapainya kebaikan.
Oleh kerana itu, wajib menghadirkan jiwa kita ke dalam liqa’ tersebut agar tidak di adakan liqa’ itu sedang dalam jiwa-jiwa kita dipandu oleh bisikan-bisikan iblis yang boleh merosakkan suasana dan mengundang bencana.
Mulakan liqa’ dengan mohon perlindungan kepada Allah s.w.t daripada syaitan yang direjam. Perdengarkan sesuatu dari ayat-ayat Al-Quran. Tujukan doa penuh keikhlasan kepada Allah s.w.t agar Allah melimpahkan Taufiq-Nya kepada semua ahli liqa’. Juga supaya Allah s.w.t jadikan liqa’ini dihujani dengan ketenangan, kerahmatan dan juga para malaikat serta disebut oleh Allah kepada sesiapa yang berada di sisi-Nya.
Tidak sia-sia apabila Baginda Nabis.a.w bersabda:
إن كل عمل لم يبدأ ببسم الله فهو أقطع أو أبتر
Ertinya: Sesungguhnya setiap amal yang tidak dimulakan dengan bismillah maka ia adalah amal yang terpotong atau terputus.
3. Perbincangan yang Objektif
Antara faktor pembantu dalam menjayakan liqa’-liqa’ dan juga perbincangan berkesan ialah dominasi perbincangan yang objektif, jauh dari unsur-unsur spontan dan pendustaan. Ini menuntut perhatian kepada beberapa perkara:
Pertama :Tentukan agenda dengan tajuk-tajuk yang akan diperbincangkan di awal pertemuan.
Kedua :Tidak berpindah dari satu tajuk ke tajuk yang lain sebelum ia ditamatkan dengan keputusan yang jelas.
Ketiga :Tidak membincangkan semula tajuk yang sudah diselesaikan kecuali ada alasan dan keperluan yang kuat.
Keempat :Menangguhkan perbincangan setiap tajuk yang tidak dapat dipastikan aspek-aspek perbincangannya.
Kelima :Menggunakan uslub pembentangan pandangan secara bertulis, terutama ketika perbincangan tajuk-tajuk penting dan kritikal.
Keenam :Menggunakan uslub membahagikan kertas perbincangan terlebih dahulu kepada para anggota untuk dibaca sebelum perbincangan agar dapat difahami atau dicatatkan apa-apa komentar.
4. Adab Perbincangan
Perbincangan yang dapat menatijahkan pengkayaan dengan pandangan-pandangan yang sejahtera, dapat mendedahkan aspek-aspek positif dan negatif sehingga dapat diambil keputusan baik berkaitan tajuk tersebut, memerlukan beberapa faktor:
Pertama : Jauhi dari menggunakan ayat yang merendah-rendahkan orang lain, memperlekehkan pandangan orang lain. Berinisiatif untuk memohon maaf jika terlaku perkara-perkara yang tidak baik.
Kedua : Mendengar dengan baik setiap pandangan yang diberikan, sekalipun pandangan yang salah serta tidak memotong percakapan yang sedang disampaikan.
Ketiga : Tidak boleh bersifat dengan sifat perlumbaan peribadi dan kalah mengalah antara kumpulan.
Keempat : Perhatian dharuri, rendahkan suara sebaik mungkin.
Kelima : Setiap orang tidak merasa bangga dengan pandangan sendiri, tetapi dengan tawadhu’nya pandangan keseluruhan anggota liqa, dan dengan kesediaan mereka bertolak ansur terhadap pandangan peribadi mereka dengan pandangan yang lebih sempurna dan lebih benar. Semoga Allah mengangkat darjat mereka dan diberikan taufiq untuk memilih yang lebih baik dan lebih benar.
Keenam : Membersihkan liqa’ dan perbincangan dari uslub-uslub menikam diri, mengaibkan diri, menmgumpat, mengadu domba, berkonspirasi dan seumpamanya dari sifat-sifat terkeji.
Inilah beberapa faktor yang jika ada, ia banyak membantu menjayakan liqa’ dan membuahkan hasil dan produktif. Suasananya penuh dengan kegembiraan dan harapan. Jika tidak ada, liqa’-liqa’ tersebut akan menjadi lubuk-lubuk beracun yang kekontangan hasil bersifat sangat pesimis.
Semoga Allah menjauhkan kita dari sifat-sifat Syaitan yang direjam ini.
No comments:
Post a Comment